JOM KIRA RAMAI-RAMAI...!!! BERMULA 11 JUN 2007,


Monday, May 7, 2007

Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
nakalnya bersulam jenaka
budi bahasanya tidak terkira
kurang ajarnya tetap santun
jika menipu pun masih bersopan
bila mengampu bijak bergalas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
kecut takut kerana benar
janji disimpan di dalam perut
selalu pecah di mulut
biar mati adat,
jangan mati anak

Melayu di tanah semenanjung luas maknanya;
Jawa itu Melayu
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu
Minangkabau memang Melayu
keturunan Acheh adalah Melayu
Jakun dan Sakai asli Melayu
Arab dan Pakistani semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
malah mua'alaf bertakrif Melayu (sesudah disunat anunya)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
melorongkan jalur sejarah zaman
begitu luas daerah sempadan
sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
kias kata bidal pusaka
akar budi bersulamkan daya
gedung akal laut bicara

malangnya Melayu kuat bersorak
terlalu ghairah pesta temasya
sedangkan kampung telah tergadai
sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

meski telah memiliki telaga
tangan masih memegang tali
sedang orang mencapai timba

berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
walaupun sudah mengenal universiti
masih berdagang di rumah sendiri

berkelahi cara Melayu
menikam dengan pantun
menyanggah dengan senyum
marahnya dengan diam
merendah bukan menyembah
meninggi bukan melonjak
watak Melayu menolak permusuhan
setia dan sabar tiada sempadan
tapi jika marah tak nampak telinga
musuh dicari kelubang cacing
tak dapat tanduk telinga dijinjing
maruah dan agama dihina jangan
hebat amuknya tak kenal lawan

berdamai cara Melayu indah sekali
silaturrahim hati yang murni
maaf diungkap senantiasa bersahut
tangan diulur sentiasa bersambut
luka pun tidak lagi berparut
baiknya hati orang Melayu itu tidak terbandingkan

selagi yang ada sanggup diberikan
sehingga tercipta sebuah kiasan:
"dagang lalu nasi ditanakkan
suami pulang lapar tak makan
kera di hutan disusu-susukan
anak dipangkuan mati kebuluran"

bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
masihkah tunduk tersipu-sipu?
jangan takut melanggar pantang
jika pantang menghalang kemajuan;
jika segan menentang larangan

jika yakin kepada kebenaran;
jangan malu mengucapkan keyakinan
jika percaya kepada keadilan
jadilah bangsa yang bijaksana
memegang tali memegang timba
memiliki ekonomi mencipta budaya
menjadi tuan di negara Merdeka.

Usman Awang November, 1999

No comments: