JOM KIRA RAMAI-RAMAI...!!! BERMULA 11 JUN 2007,


Tuesday, June 24, 2008

Emosi Jangan Mengatasi Akal!

Hari ini tersiar di dalam akhbar Utusan Malaysia tulisan seorang wartawan, Noraini Abdul Razak yang mempertikaikan polisi terbaru Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) berkenaan dengan tata berpakaian peniaga-peniaga di ruang premis MPKB-BRI.

Marah sekali nampaknya apabila diperkenalkan larangan bergincu dan berkasut tumit tinggi kerana katanya ini melanggar fitrah semulajadi wanita. Kata si penulis lagi, kenapa tidak diperkenalkan peraturan agar lelaki menjaga pandangan mata mereka agar tidak tersilau dengan wanita yang bergincu dan bertumit tinggi.

Penulis nampaknya tidak berselindung dalam menunjukkan sikap anti terhadap peraturan seperti ini. Rasanya sebagai seorang muslimah, Noraini sepatutnya sudah menyedari peraturan yang bukan ditetapkan oleh MPKB-BRI tetapi oleh Allah SWT. Bukankah Allah SWT telah menyatakan peraturan kepada kaum muslimah di dalam maksud firmanNya :

"Katakanlah kepada wanita yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung kedadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau Saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung. (Surah an-Nur, ayat 31)"

Dalam keadaan hari ini yang menyaksikan kes-kes rogol dan sumbang mahram naik menjulang, indeks jenayah yang semakin tinggi dan kaum wanita yang semakin tidak selamat, beruntung benarlah sekiranya ada golongan yang berfikir untuk keselamatan wanita. Batasan aurat, perhiasan dan pergaulan telah dijelaskan oleh Allah SWT bukanlah bermakna satu diskriminasi terhadap wanita tetapi itulah kemuliaan dari Allah SWT yang meletakkan wanita di tempat yang mulia. Wanita tidak dibenarkan berhias secara berlebihan kecuali untuk suami mereka.

Noraini mempertikaikan, perlukah wanita diajar satu persatu cara untuk berpakain? Jawapannya ialah, ya. Bahkan Allah SWT yang mengajar kaum muslimat satu persatu bagaimana untuk berpakaian. Bahkan Nabi Muhammad SAW mengajar Asma’ binti Abu Bakr dengan kata-katanya, “Wahai Asma’, sesungguhnya wanita apabila telah mencapai akil baligh hendaklah menutup seluruh tubuhnya kecuali ini dan ini,” lalu baginda mengisyaratkan kepada mukanya dan tangannya. (Hadis riwayat Abu Daud, disahihkan oleh al-Bani)

Noraini mempersoalkan kenapa tidak turut diperkenalkan peraturan mengkehendaki kaum lelaki menjaga pandangan serta tata laku. Bahkan didesak supaya dikeluarkan juga arahan supaya kaum lelaki pandai mendidik hawa nafsu supaya tidak mudah tergoda semata-mata apabila terpandang secalit gincu di bibir wanita.

Tulisan berbau emosi seperti ini sebenarnya tidak ditimbang dengan neraca akal yang waras. Tidak perlu kepada penyelidikan ke peringkat PhD, kita sudah cukup maklum bahawa lelaki biasa tidak akan tersilau dengan kecantikan wanita kalau tidak wanita yang berhias secara melampau. Lalu biasanya mereka menghujah, kenapa wanita yang bertudung lengkap turut sama menjadi mangsa? Jawabnya, aurat yang ditutup ialah tanda tanggungjawab seseorang kepada perintah Allah. Ia juga sebagai ikhtiar agar wanita tidak menjadi mangsa kebuasan nafsu. Ikhtiar kadang-kadang tidak mengundang hasil sebagaimana rumah yang dikunci ada ketikanya menjadi mangsa pencuri! Apa yang penting, wanita yang menutup aurat sudah melaksanakan perintah Allah biarpun turut sama menjadi nafsu! Oleh yang demikian, biarkanlah MPKB-BRI dengan peraturan yang diperkenalkannya itu. Lagipun peraturan itu hanyalah untuk para peniaga sahaja. Kalau sekiranya Noraini berminat mengunjungi Kelantan dengan gincu bertempek sekalipun, silalah. MPKB-BRI tidak mempunyai kuasa menahannya.

Tulisan ini hanyalah sekadar respon kepada reaksi Noraini dan kaum muslimah yang sefikrah dengannya. Saya mengajak saudari Noraini khususnya agar janganlah sampai emosi kita menyebabkan kita mempelekehkan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

24 Jun 2008

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari

No comments: