JOM KIRA RAMAI-RAMAI...!!! BERMULA 11 JUN 2007,


Saturday, November 14, 2009

Nak Claim Duit SwissCash...?



Asyik la orang duk tanya pasai SC dan SS ni kat aku semenjak dua menjak ni... Jadi aku nak tulih satu post lagi di sini, komen... Lain-lain hangpa boleh pi tengok di Forum kita..., klik gambaq DS Hishammudin yang duk pegang kerih tu..., pi baca dan boleh sembang...

Pertamanya, kalau ada niat nak amik duit tu balik, sila ikut syarat di bawah:

1) Sapa yang dah untung dan dah balik modai tak payah mintak... Nak tau hangpa dah balik modai tolak bulan FEBRUARI 2007 sebelum tarikh hangpa masuk SC, kalau dapat 8 bulan beza, kira hangpa dah balik modai, tak payah claim lagi... Buang karan saja...! FEBRUARI 2007 adalah tarikh akhir SC banyaq kepada pelaboq...., pastu semua duit leboq masuk ACF, pastu jugak yang aku angin bukak blog ni...!

2) Mintak maaf cakapla..., kalau hangpa masuk takat seribu dolar, pastu dah 4 bulan return dok kolet pun tak payah la nak claim... Tak berbaloi...

3) Jadi kalau masuk seratuih dollar lagila tak payah sibuk nak claim..., Tak berbaloi-baloi....

3) Hangpa kena ingat yang SS takkan bayaq SEMUA duit hangpa...., ada kiraan dia... Jadi kalau seratuih dollar tu akan tinggai beberapa kupang saja... beli apom balik pasar malam pun dah 6 kupang... Mana cukup...?

4) Pendapat akula..., kalau hangpa kira pi kira mai rasa macam rugi paling kurang RM 5000.00 tak kira berapa yang hangpa masuk, baru molek nak claim...

5) Ni pasai prosedur dia nanti akan buat kita pening kepala.... Nak keluaq duit KWSP pun banyak songeh pejabat dia, tu dengan IC bukti bagai, kalau takat sijil internet tu mesti SS akan mintak benda lain lagi nanti... tu yang jangan dok berangan kalau rugi bawah RM 5000.00 baikla sambung keja..., bagi aku la....

6) Tapi kalau hangpa ketegaq jugak nak claim, takpa... Perkara pertama pi print dan isi borang NI dulu.... AMIK DI SINI...!

7) Haaa... Isila.... senang ka....????

8) Perkara kedua yang hangpa nak kena buat ialah cari balik sijil SC dulu.... Cari.... tak dak tak boleh claim... Tu bukti hangpa...

9) Aku nak mintak tolong la..., jangan harap UL hangpa akan simpan..., dia punya sendiri pun mungkin dah takdak...!

10) Dah prepare 2 benda tu, HANGPA TUNGGU LA... tunggu arahan rasmi daripada SS. TAUN DEPAN...! Simpan benda-benda tu baik-baik...!

11) Pastu hangpa sambungla keja hangpa balik.... Jangan buang masa tunggu... Sambil-sambil boleh pi sembang di forum...

Okeh.., tu sajala... aku harap dapat membantu...

Sekian.

Friday, November 13, 2009

Ada Cerita...


Salam...

Ditulis pada 13 November 2009, 7 malam...

Hari ni ada SS keluarkan beberapa kenyataan yang baik mengenai duit kita dalam SC... Aku tau hangpa mai sini pun pasai berita tu la... kalau dak tak kebuloq nak mai sini dah.... :-)

Aku paham... aku pahamm... Takpa...

Ni berita nombor satu.... "SwissCash Press Conference"

Ni berita kedua... "SC obtains RM31 million for investors in Swisscash settlement"

Dan ni berita ketiga "Swisscash Investment Scam Settlement: FAQS"

Duit tu ada RM31 Juta saja... kita kena lebih RM200 juta dulu... jadi hanya ada beberapa golongan yang akan dilayan... Hangpa yang tak rugi dari SC ni (Termasuk Aku) takpayah sibuk nak amik duit tu..., tambah pulak kepada power rangers dan kroni depa... Jangan buat muka tak malu...!

Biaqla makcik aku, pakcik aku, kawan aku yang meniaga pasar malam, kawan aku yang meniaga aiskrim, member aku yang menderita hutang tak habih bayaq lagi, dan seangkatan dengannya, biaqla depa ni pi mintak dulu...

Dan para upline (UL) perlu bantu sehebat mungkin untuk depa ni..., aku kira bantu la jugak dengan menulih ni kan..? Bantu ka macam ni...? Boleh la nooo....

Alhamdulillah..., ada lagi forum kita yang masih boleh diguna untuk bincang-bincang.... aku yakin nanti ramaila balik tu pi cari maklumat.... :-) Kalu dah lupa nak pi macam mana boleh klik SINI...

Para moderator kalau rajin boleh la layan... Lama tak dengaq cerita masing-masing..., harap semua sihat....

Semoga berita baik ini akan menjadi lebih baik lagi dengan para pelabor yang kerugian mendapat bahagian masing-masing, walaupun mungkin bukan reimburse semua, tapi sikit sebanyak boleh ubat luka di hati dulu.... kurang sikit kecewanya...

Aku pun tak tau apa cerita top power rangers leaders.., jangan tanya aku....!

Ok geng...., selamat semuanya... terima kasih dan wassalam....

Saturday, February 14, 2009

Selepas 3 Tahun...

Salam Hormat kepada semua pembaca dan pengunjung forum dan blog...

Segala pujian untuk Allah, Tuhan sekelian 'alam. Selawat dan salam untuk Rosulullah, ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat, pengikut mereka, dari masa ke masa hingga Hari Qiamat.

Pertamanya, saya ingin meminta maaf sebanyak-banyaknya, setelah 3 tahun menunggu, sejak Mac 2006 hingga pada malam saya menulis post ini, sudah sampai masanya, saya umumkan beberapa perkara yang boleh di anggap penutup kepada penantian yang lama ini.

Saya pernah menulis dulu, saya akan berada di sini hingga saya berputus asa, dan saya tahu tuan-tuan semua pun dah tahu yang saya memang telah lama berputus asa dengan penantian ini.

Sebab itu tiada usaha lagi di pihak saya untuk mendapatkan maklumat SC sejak setahun lalu. Terima kasih kepada tuan-tuan yang terus menggali, dalam harapan yang mana mengharapkan sikit sinar di hujung sana, maka hari ini, kita akhiri penantian ini dan mengorak langkah baru dengan rangkaian yang ada di sini untuk kebaikan kita.

Saya bukan ahli Dreamkaya. Saya bukan budak suruhan mereka yang mengadakan blog dan sidang ini untuk menyejukkan amarah banyak pelabur SC sejak Mac 2006.

Banyak tulisan saya sejak Mac 2006 hingga akhirnya dengan keras mengutuk kumpulan mereka dan memboikot ACF hingga melarang sesiapa yang nak sertai ACF supaya membatalkan hasrat mereka.

ACF wujud sejak MAC 2006 hingga JUN 2006 di Malaysia, dan hilang di seluruh dunia (EN HAMID SINGAPURA mesti ingat) pada sekitar September 2006. Hilang hingga sekarang.

Walaupun banyak web lain yang menyebut SC akan kembali, ia hanya fatamorgana yang dicipta oleh bangsat-bangsat tertentu tanpa saya selidiki dan ingin tahupun sebab-sebabnya.

Saya wujudkan www.pasai-swisscash.blogspot.com pada awalnya untuk memberi penerangan kepada ahli kumpulan saya, dan saya share blog tersebut dengan sesiapa sahaja yang ingin mendapatkan maklumat datang membaca. Tiada niat lain, malah tiada niat saya nak berniagapun darinya.

Sampai kini tiada iklan yang menjanjikan wang dari sana dan juga dari sini untuk isi perut saya.

Ahli kumpulan saya tiadalah besar mana, sekitar 100 akaun sahaja... Ada antara mereka dari kalangan ahli keluarga, sahabat handai, guru-guru, kawan, rakan pejabat dan sebagainya, sama sahaja dengan tuan-tuan juga... Saya dari kumpulan Cikgu Mail Johor ke bawah lebih 40 lapis.... dan bermastautin di Utara. Pernah menjadi pelabur full time dan tinggal di Seberang Jaya. Saya yakin dengan sikit penerangan ini, ahli kumpulan saya mengenali saya... Kawasan saya tinggal majoriti dari kumpulan DamRong, jadi saya amat terpencil untuk dikenali.

Saya amat kasihan dengan beberapa orang yang jelas menderita daripada SC. Namun tak banyak yang boleh saya buat kerana saya juga tidak mencapai pengutan yang banyak dari SC, tapi alhamdulillah, saya tidaklah rugi atas kos, rugi atas untung juga masih boleh ditampung, pokoknya, saya tidak rugi dari segi kewangan.

Tapi saya rugi teruk dari segi reputasi, saya bukan orang yang terlalu baik, tapi reputasi yang busuk sejak kejadian SC ini amat mengganggu saya. Saya yakin ada antara tuan-tuan yang mangalami nasib sama seperti saya.

Sayugia dan dengan rasa rendah diri, saya ingin sekali lagi memohon maaf daripada seluruh ahli kumpulan saya, nama-nama dan wajah mereka masih dalam ingatan saya, walaupun saya amat malu untuk menunjukkan lagi muka kepada mereka.

Maafkan saya...

Forum lama Hijau Kuning menjadi platform untuk pembaca blog berinteraksi, hingga ditukar ke forum ini yang bagi saya lebih tersusun. Apabila diwajibkan keahlian untuk membaca forum SC, ahli berdaftar mencapai 1600 orang, dan forum pernah begitu aktif beberapa tahun lalu dengan kehadiran kita semua.

Pada peringkat awal kita elakkan mencampuri forum ini dengan perniagaan lain, tapi kita benarkan dengan bebasnya ahli forum mencari market dari sini. Saya percaya ada yang berkenalan dan bersua muka hasil daripada forum ini.

Saya menjengah forum ini jika berkelapangan, amat mengharukan masih ada sekitar 30-40 entry setiap 24 jam, ini amat mengharukan saya.

Amat berharap sebilangan kita akan SC dan mencari sedikit maklumat di sini untuk sedapkan hati dan mungkin juga kepastian.

Bagi saya kini tidak perlu lagi, saya ingin menjemput tuan-tuan menggunakan forum ini untuk tujuan lain. Bebas mencari keuntungan di sini.

Forum dan blog tidak akan dipadamkan, mungkin untuk rujukan generasi lain dalam bidang internet ini, terutamanya perniagaan/pelaburan internet.

Apa jadi kepada Amir, Anuar, Amin, Albert Lee saya tidak tahu dan saya tak minat nak tahu pun, tapi amat membahagiakan saya jika mereka tampil satu masa dulu mengkhatamkan SC ni dan menghuraikan apa sebenarnya yang berlaku untuk saya sampaikan kepada ahli kumpulan saya pula...

Mereka tahu ada nya forum dan blog ini, tak mungkin mereka tak tahu...

Biarlah mereka.

Saya ingin sangat merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada semua pembaca forum dan blog, khususnya kepada tulang belakang forum ini, dari kumpulan moderator dan penggali info, dari kumpulan pemberi maklumat dan penenang, dari kumpulan provokatif dan pembaca pasif, ANDA AMAT SAYA HARGAI....

Saya boleh dihubungi melalui forum ini dan email pakai_akai@yahoo.com jika berminat. Buat masa ini, sebarang jenis perniagaan tidaklah menjadi minat saya lagi... Buat masa ini...

Terima kasih tak terhingga kepada semua, saya amat berharap ketelanjuran saya sepanjang 3 tahun ini dapat dimaafkan, terima kasih kepada tulang belakang forum ini, maaf tak dapat menyebut setiap satu nama, ANDA SEMUA PENTING... terima kasih kepada pembaca dan pelawat.

Apa yang baik adalah kepunyaan Allah, yang lemah dan cela adalah atas kekurangan saya sendiri, moga-moga Allah mengampunkan saya dan kita semua atas dosa-dosa kita yang lepas....

"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa ku yang lepas-lepas, dosa-dosaku yang kemudian-kemudian, dosa-dosaku yang terzahir, dosa-dosaku yang aku sembunyikan, Allah, Engkaulah yang Maha Mengetahui, Engkau Yang Awal dan Engkau Yang Akhir, Tiada Ilah melainkan Engkau, Ya Allah, aku mohon lindung daripadamu daripada 'azab kubur, dan fitnah ketika hidupku, dan fitnah sesudah matiku, dan fitnah Al Masih Dajjal, Wahai Tuhan yang membalik-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas jalanMu, agamaMu, ketaatan kepadaMu, Rahmatilah aku, Wahai Tuhan Yang Merahmati."

Wa sallallahu 'ala Saidina Muhammad, Wa 'ala a li hi wasohbihi wa sallim, Wal hamdu lilla hi robbil 'alamiin, Amin.


Terima kasih, wassalam.


Pakai Akai
14 Februari 2009
Seberang Jaya, Malaysia.